Monday, July 26, 2010

Tangguh bicara kes saman Maidam


KUALA TERENGGANU – Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam menangguhkan perbicaraan kes tuntutan saman waris tanah wakaf Chenderong terhadap Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) pada 23 dan 24 Januari tahun depan.

Hakim Shaikh Ahmad Ismail membuat keputusan itu setelah Maidam selaku defendan memberi alasan belum bersedia mengikuti prosiding perbicaraan kes berkenaan yang difailkan dua wakil waris pada Disember 2008.

Pada prosiding itu, defendan yang diwakili Faridah Yusof juga memohon ex-parte agar plaintif, Tengku Hidayah Tengku Habib, Tengku Zainul Akmal Tengku Besar Mahmud dan peguam mereka tidak bercakap kepada media mengenai kes itu.

Maidam turut memohon mahkamah melarang semua media melaporkan perjalanan prosiding kes itu sehingga ia selesai dengan menetapkan perbicaraan tertutup yang hanya dihadiri defendan dan plaintif bersama peguam masing-masing.

Defendan mengemukakan ex-parte itu dengan alasan plaintif menghina dan mengaibkan pihaknya melalui laporan media sedangkan kes itu belum selesai serta masih berjalan.

Bagaimanapun, peguam plaintif, Kamar Ainiah Kamaruzzaman membantah kerana katanya media mempunyai peranan dan tanggungjawab dan jika mereka membuat laporan salah, defendan boleh memfailkan saman.

Malah katanya, apa yang siarkan media adalah perkara benar mengikut fakta kes dan selama 25 tahun dalam bidang guaman, beliau tahu apa yang boleh dan tidak boleh dinyatakan kepada media.

Dalam saman yang dikemukakan Tengku Zainal Akmal dan Tengku Hidayah, mereka yang mewakili 460 keluarga pewaris tanah wakaf mendakwa defendan gagal menguruskan pajakan hartanah seluas 25,379.23 hektar itu, menyebabkan ada waris hanya memperoleh pendapatan RM3 setahun.

Mereka juga memohon perintah mahkamah membatalkan semua perjanjian pajakan, selain menuntut Maidam menguruskan harta wakaf di bawah satu unit khas dianggotai wakil waris tanah wakaf, atau membenarkan waris menguruskan sendiri harta.

Sinar Harian 26/7/2010.

No comments:

Post a Comment